MULAKAN MATA PENAMU DENGAN NAMA ALLAH

Assalamualaikum,
Memulakan penulisan bukan semudah yang disangka. Ia ibarat menjahit pakaian yang memerlukan kemahiran dan strategi agar pakaian akan kelihatan cantik, kemas dan menarik.
Sebenarnya, menulis adalah aktiviti yang amat menarik kerana ia memberi peluang kepada kita meluahkan segala perasaan, pemikiran dan kritikan terhadap persekitaran. Malah penulisan juga boleh menjadi alat untuk menyampaikan dakwah Islam, di samping boleh menjana kewangan sendiri.
Penulisan boleh diasah.Oleh itu, mari kita belajar penulis sambil BERDAKWAH!

Wednesday, March 25, 2009

KULIAH 5 MEMAHAMI KHALAYAK PEMBACA

MAD’U
¢Dakwah amat mementingkan kesannya terhadap sasaran.
¢Dr Rauf Shalabi (1982: H. 63) mengatakan uslub dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah ialah secara hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan yang baik adalah sesuai untuk semua peringkat sasarannya.
¢Pembaca merupakan elemen yang terpenting untuk keberkesanan sesuatu komunikasi yang berlangsung.
¢John E. Jordon (1965: h. 59- 62) menjelaskan seseorang penulis perlu memahami khalayaknya sama ada dari aspek kedudukan (levels) yang merujuk kepada aspek pendidikan, pemikiran, dan usia atau perkara yang ingin diketahui oleh khalayak (the readers needs).

¢Oleh itu, Md. Sidin Ahmad Ishak dan Mus Chairil Samani (1996: h. 47) mencadangkan agar penulis cuba melakukan penganalisisan terhadap pembaca/ khalayak dan melihat keterbacaan sesebuah penulisan agar sesuai dengan khalayak sasarannya.
¢Khalayak mempunyai keinginan dan minat yang tersendiri berkaitan dengan maklumat yang ingin diperolehinya. Ia bergantung kepada zaman, usia dan persekitarannya.

Halangan Mad'u
¢Halangan akan wujud dalam proses pembacaan sama ada secara dalaman mahupun luaran.
Halangan dalaman
¢Halangan dalaman berlaku dalam diri pembaca iaitu merujuk kepada kepercayaan, keyakinan dan pemikirannya dalam menanggapi persoalan yang dikemukakan dalam karya.
¢Jika penulis dan pembaca mempunyai kepercayaan dan tanggapan yang sama, maka komunikasi melalui karya berlaku dengan baik, tetapi jika sebaliknya, penulis memainkan peranan utama dalam usaha memujuk pembaca untuk menerima pemikirannya.

Halangan Luaran
¢Manakala halangan luaran berlaku ke atas faktor persekitaran, masyarakat dan pergaulan pembaca.
¢Sasaran diibaratkan seperti pesakit yang sedang mencari ubat.
¢Oleh itu, seseorang pendakwah perlu mencari ubat yang sesuai dengan penyakit sasarannya.
¢Sasaran di Malaysia terdiri dari masyarakat Islam (Islam sejak lahir dan mualaf) dan sasaran bukan Islam (percayakan Tuhan dan tidak percayakan tuhan). Oleh itu, kesesuaian mesej dengan sasaran perlu diambil perhatian iaitu dari aspek kesesuaian dengan anutan agama dan pegangan hidup sasaran, kesesuaian dengan peringkat sasaran dan kesesuaian dengan masalah dan penyakit sasaran (Ab Aziz Mohd Zin, 2001: h. 85-85)

Penulisan mempunyai peranan yang penting dalam usaha mempengaruhi daya peningkatan dan daya perkembangan kebolehan mental, intelektual kreativiti seseorang individu. Penulisan dihasilkan dari suatu bentuk pemikiran yang menguji keupayaan seseorang berfikir secara logik, kritikal dan matang dalam membincangkan sesuatu perkara, idea yang berhubung kait dengan manusia, alam sekitar, peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian dalam masyarakat. (Nor Raudah Hj Siren et.al (eds), 2006: h. 69)
¢Kesesuaian gaya dan isi kandungan dakwah dengan sasaran akan mempengaruhi pemikiran dan penghayatan mereka kerana keistimewaan yang ditonjolkan iaitu Islam menekankan aspek sosial masyarakat yang merangkumi kekeluargaan, perundangan, pendidikan, ekonomi, hubungan antara manusia, kepimpinan, budaya dan isu yang sesuai dengan kehendak sasaran.

¢Oleh itu, matlamat terakhir penulisan dakwah ialah untuk tujuan membentuk dan membangun pembaca dari aspek, minda, fizikal dan rohani.
¢Ini kerana penulisan dakwah tidak seperti penulisan biasa yang mempunyai peranan yang amat mencabar serta bertanggungjawab membentuk masyarakat yang cinta dan mendapatkan keredaan Allah atau menjalin hubungan ikhlas dengan Allah (hablum min Allah). Halangan yang berlaku akan dapat diatasi jika penulis mampu memanipulasi karyanya dengan baik dan berkesan.
¢Islam juga amat menitikberatkan penyampaian dakwah dilakukan secara yang terbaik dalam usaha memakmurkan dunia ini dari kejahatan dan kemungkaran.
¢Penulisan dakwah atau juga disebut penulisan Islam berusaha membentuk akhlak manusia.

Menurut Shahnon Ahmad (1981:h. 7)
¢Objektif utama penulisan Islam ialah untuk meningkatkan akhlak manusia, membina etika dan menyisihkan perkara yang mencemar kemanusiaan sejagat.
¢Oleh kerana penulisan dakwah mementingkan kesannya kepada pembaca, maka pembikinan penulisan memerlukan keteguhan iman dan ketakwaan kepada Allah (kekuatan ketauhidan).

¢Mana Sikana (2005: h. 4-5) menekankan asas bagi penulisan dakwah atau Islam ialah melihat diri pengarang dan isi kandungan karya yang mampu memberi pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islamiah kepada khalayaknya.
¢ Aspek pengukuhan akidah merujuk kepada pendekatan karya untuk mengukuh dan memperteguhkan keimanan kepada Allah dan menjauhkan amalan syirik dan pemujaan selain Allah. Manakala aspek pembentukan akhlak ialah karya yang mampu membina hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan manusia serta tidak melakukan kefasadan di dunia ini.

¢Mahmud Karam Sulayman (1988: h. 108-111) pula menjelaskan tujuan komunikasi Islam (penulisan dakwah) perlu memenuhi tiga tujuan iaitu menyampaikan maklumat sejarah (sirah) untuk dijadikan teladan, menyampaikan ilmu Islam (kemantapan akidah, pelaksanaan ibadat dan pembentukan akhlak serta urusan kehidupan sama ada dari aspek rohani mahupun jasmani) dan menghiburkan serta memberi ketenangan.

¢Menurut Abdul Karim Zaidan (t.t: h. 32) terdapat tiga ilmu pengetahuan yang mesti dipelajari oleh umat Islam iaitu ilmu pengetahuan yang boleh menyampaikan manusia kepada kesempurnaan akhirat, ilmu pengetahuan yang dapat menguatkan hati untuk melaksanakan ajaran agama dan ilmu pengetahuan yang dapat menyedarkan manusia bahawa hidup ini hanyalah sementara dan akhirat jua yang kekal abadi.

¢Shahnon Ahmad(1981: h. 3) pula menegaskan bahawa setiap penulisan wajib dilakukan kerana Allah (berlandaskan al-Quran dan hadis) dan hikmahnya adalah untuk manusia agar memperolehi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Walau bagaimanapun, tabiat dan tingkah laku sasaran adalah pelbagai (Fathi Yakan, 1977: h. 21-22). Pemikiran, pemahaman, penyakit, masalah dan halangan-halangan dalam diri yang ada dalam diri sasaran akan menjadi penghalang utama dalam proses komunikasi dakwah.

¢Oleh itu, seseorang penulis perlu mengenalpasti penyakit (masalah) yang dialami oleh sasaran dan mengetahui ubatnya (kaedah penulisan yang dipilih) (Abdul Karim Zaydan, 1976: h. 404) sehingga sasaran menyedari keperluan mereka terhadap dakwah yang disampaikan.
¢Kita lihat ulama-ulama Islam di Malaysia menyebarkan ilmu yang mampu menumbuhkan rohaniah dalam akliah manusia Melayu dalam berbagai-bagai bentuk penulisan, termasuk terjemahan, komentar atau karangan asli yang berhubungan dengan amalan-amalan tertentu berdasarkan syariah Islam atau sifat-sifat yang terpuji yang sealiran dengan cita-cita rohaniah manusia. Ini dapat dilihat melalui karya-karya seperti karya terjemahan Syekh Daud al-Fatani dalam Bidayatu’l Hidayah (karangan al-Ghazali) yang mengajar tentang al-Fada’il, iaitu sifat- sifat keutamaan berdasarkan hakikat keinsanan yang dikehendaki oleh Allah.

¢Kedudukan penulisan Islam begitu mempengaruhi kehidupan manusia sehingga mampu menyembuhkan manusia dari penyakit rohaniah.
¢Ia merupakan cahaya yang menerangi rohani untuk berhubung dengan alam yang dikesani dengan pancaindera yang enam (termasuk instinct) bagi memudahkan hubungan manusia dengan Tuhan.
¢ Mempelajari ajaran Islam secara akliah selalunya selari dengan latihan-latihan dan amalan-amalan rohaniah serta disiplin yang dikehendaki berdasarkan kepada hukum syariah.
¢Ini dijelaskan sendiri oleh Tuan Tabal dalam kitabnya, Syarah al-Hikmah (Ismail Hussein, 1984: h. 25), yang menerangkan tentang kesedaran keilmuan itu diselarikan dengan mencapai kedudukan rohaniah yang wajar.
¢Peranan manusia sebagai khalifah bukan sekadar melafaz syahadah dan menunaikan rukun Islam kerana ia juga merangkumi jihad dalam menjelmakan lunas-lunas ketauhidan dalam amalan-amalan kehidupan seharian.

¢Pendekatan ajaran Islam secara lebih progresif dan universal perlu diusahakan bersama dengan memahami serta mendalami falsafah Islam, nilai-nilai Islam, pandangan umum, kewujudan perasaan ingin menimba ilmu secara kreatif dari sumber lain dan bergerak melalui interaksi dengan tamadun lain. Umat Islam pula perlu berusaha membuka pintu hatinya dengan dunia bagi menghalang wujudnya tauhid dalam kenyataan dan berusaha menjadi khalifah Allah yang sebenar dengan bekalan ilmu pengetahuan yang cukup untuk membebaskan manusia dari pelbagai gejala sosial yang kini merendahkan martabat manusia sebagai manusia.

¢Hazami Jahari (dalam Mohamed Anwar Omar Din (penye.), 2004: h. 110 – 111) merumuskan pandangan para sarjana yang menanggapi ciri-ciri karya Islam iaitu menyampaikan kebenaran hakiki, memberangsangkan orang berbuat baik, menimbulkan kecintaan kepada Allah, berkasih sayang sesama makhluk, tidak menimbulkan kekejian dan kemungkaran, memiliki keindahan, memiliki kebaikan, imaginasi yang terkawal, bahasa jelas dan mudah difahami dan teknik penceritaan yang terkawal dan tidak berlebihan.
¢Sehubungan itu, perhubungan manusia dengan manusia merupakan tanggungjawab peribadi yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya bagi menanggapi cabaran hidup ini.
¢ Wacana penulisan merupakan wacana dakwah yang mampu membantu khalifah menghadapi mehnah dan cabaran masyarakat yang sering lalai dengan peraturan dan kehambaannya kepada Allah.
¢Menyeru (berdakwah) bukan sahaja dalam aspek ibadat sahaja bahkan merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi, pembangunan, pentadbiran dan sebagainya yang membantu manusia menemui arah mendapatkan keredaan daripada Allah SWT.
¢Secara keseluruhannnya, penulisan dakwah bertujuan untuk membangun akidah, ibadat, akhlak dan kemahiran hidup yang berlandaskan syariah Islam. Oleh itu, aspek pengisian dalam karya penulisan adalah amat dititikberatkan agar mampu membina pembangunan kemanusiaan sama ada dari aspek mental, rohani dan sahsiah umat Islam.

No comments:

Post a Comment