MULAKAN MATA PENAMU DENGAN NAMA ALLAH

Assalamualaikum,
Memulakan penulisan bukan semudah yang disangka. Ia ibarat menjahit pakaian yang memerlukan kemahiran dan strategi agar pakaian akan kelihatan cantik, kemas dan menarik.
Sebenarnya, menulis adalah aktiviti yang amat menarik kerana ia memberi peluang kepada kita meluahkan segala perasaan, pemikiran dan kritikan terhadap persekitaran. Malah penulisan juga boleh menjadi alat untuk menyampaikan dakwah Islam, di samping boleh menjana kewangan sendiri.
Penulisan boleh diasah.Oleh itu, mari kita belajar penulis sambil BERDAKWAH!

Monday, April 6, 2009

KULIAH 13 PENULISAN DI MASJID

PENGENALAN

Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad mengatakan komunikasi Islam bertanggungjawab dalam usaha menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Oleh itu, beberapa landasan prinsip berkomunikasi secara Islam perlu dijadikan garis panduan iaitu merangkumi dari aspek perancangan menentukan idea hinggalah bagaimana komunikasi itu berlangsung.

Perancangan dan pengisian ini akan mampu membentuk penulisan atau pengucapan yang baik bagi menjamin keberkesanan seseorang komunikator itu menyampaikan mesej dakwahnya.


Zulkiple Ab. Ghani menambah, oleh kerana komunikasi Islam bersifat mission yang menggesa umat Islam berterusan menyebarkan mesej Islam, maka komunikasi Islam perlu memberi manfaat ke arah kesejahteraan manusia sejagat.

PERANAN MASJID
Masjid sebagai tempat pembinaan semula semangat spiritual dan kerohanian menerusi solat, mengingati Allah S.W.T dan juga ibadat lain yang dilaksanakan dengan sepenuh jiwa dan keikhlasan (SM Darsh M. Akram Khan, S. Hassan, Yusuf Islam (eds.)(1996).
Oleh itu, penulisan akan membantu melaksanakan fungsi masjid tersebut.

Masyarakat di Malaysia tidak mempunyai budaya membaca yang baik. Tetapi mereka akan membaca sesuatu yang ringkas dan mudah difahami serta segera selesai membaca dengan sekali duduk, ditambah pula dengan gambar-gambar yang menarik menghiasi halaman. Oleh itu penerbitan brosur, pamplet dan risalah tentang Islam boleh dilakukan oleh masjid-masjid sebagai bahan tambahan dalam usaha menyampaikan bahan bacaan melalui penulisan.
Genre Penulisan yang sesuai di masjid
Kandungan yang penting dan diminati oleh khalayak dalam sesuatu penulisan ialah tentang isu semasa dan pengetahuan am sama ada di luar Negara atau dalam Negara yang dilihat dari perspektif Islam. Antara bahan yang boleh ditulis ialah tentang pembangunan akidah, pembangunan syariah dan pembangunan akhlak.

Kajian yang dilakukan mendapati khalayak yang meminati bahan bacaan terutamanya majalah ialah belia yang berumur antara 20 – 38 tahun. Ini kerana, mereka sedang membina kemahiran diri sama ada ingin menjadi isteri yang baik, suami mithali, ibu yang baik atau seorang pekerja yang baik.

Penulisan Buletin/Risalah Masjid
Risalah masjid amat berguna untuk rujukan khalayak bagi mendapatkan maklumat tentang aktiviti dan pengisian rohani dari pihak masjid. Artikel atau rencana ditulis untuk mengisi ruangan buletin yang diterbitkan untuk tatapan umum.

Rencana atau artikel yang mengandungi maklumat Islam seperti asas hukum Islam atau hukum semasa serta fatwa-fatwa baru yang diwartakan untuk dibaca oleh ahli kariah terutama semasa menunggu sesuatu majlis atau sedang menunggu waktu solat.
Penulisan Risalah
Penulisan Rencana Majalah
Penulisan Tokoh

Buletin juga boleh diterbitkan untuk memaparkan segala aktiviti yang sudah atau akan dilaksanakan untuk pengetahuan ahli kariah. Melalui pengetahuan tersebut, akan mampu menarik keinginan ahli kariah untuk menyertai aktiviti-aktiviti masjid yang akan dijalankan kelak. Buletin yang mengandungi Takwim aktiviti tahunan yang dirancang juga akan membantu masyarakat menyusun masa mereka untuk menyertainya.

Penulisan Modul Kursus
Setiap kursus dan pengajian yang dijalankan oleh masjid hendaklah disediakan modulnya dan notanya dicetak dengan baik agar kelihatan teratur dan tersusun untuk rujukan peserta. Penulisan modul ini memperlihatkan kesungguhan pegawai masjid menyampaikan maklumat kepada masyarakat atau peserta dan memperlihatkan keprihatinan pegawai masjid kepada keperluan masyarakat.

Penyediaan dan penulisan modul kursus akan membantu meningkatkan kefahaman peserta dan sebagai rujukan apabila kurang jelas tentang perkara yang sedang disampaikan oleh penceramah.

Modul juga akan menjadi kursus yang dianjurkan mempunyai silibus yang mempunyai kronologi pengajian yang teratur tanpa melompat-lompat.
Jenis-jenis Modul
i. Modul pengajian syariah – modul yang ditulis perlu bermula di peringkat asas ilmu syariah yang merangkumi pemahaman hukum, persoalan bersuci, solat, ibadat, pengurusan jenazah dan sebagainya. Modul yang tersusun dan terancang serta mempunyai silibus pengajian akan memudahkan khalayak mengikuti kursus yang disediakan, terutamanya saudara baru dan golongan yang ingin mengetahui tentang Islam.

ii. Modul pengajian usuluddin – modul ditulis bagi memantapkan akidah seseorang penganut Islam. Penekanan terhadap aspek akidah yang benar perlu didedahkan kepada peserta melalui penulisan nota-nota untuk modul ini agar peserta boleh mengelakkan diri dari ajaran-ajaran sesat yang berkembang pesat pada masa kini. Ia melibatkan aspek ketuhanan, kerasulan, ilmu sam’iyyat, tafsir al-Quran, tafsir hadis, mustalah hadis dan sebagainya.

iii. Modul ketrampilan diri – modul ditulis bagi membentuk peribadi yang bersahsiah mulia, sesuai dengan ajaran Islam dan kemahiran-kemahiran dalam aktiviti keduniaan. Kemahiran ini perlu bagi meningkatkan kredibiliti Muslim agar dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dari agama lain.
Penulisan Modul Kursus
Penulisan Kitab Pengajian

Penulisan Khutbah
Khutbah menjadi asas kepada kekuatan umat Islam dalam usaha mendalami, memahami dan menghayati ajaran Islam. Jamal al-Dinn(1971) menegaskan khutbah di zaman Rasulullah dan zaman khulafak disampaikan tanpa sebarang teks, ia datang dari hati dan ilham yang disampaikan secara spontan. Manakala Nawawi Duski (1981) memetik kata-kata Iqbal mengatakan bahawa perkataan yang keluar dari hati akan membekas ke dalam hati

Walau bagaimanapun, di zaman yang serba pantas ini, teks khutbah perlu ditulis agar tidak berlaku penyelewengan pemikiran. Teks khutbah biasanya ditulis oleh khatib sendiri atau disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri untuk dibaca oleh khatib. Bagi memanfaatkan isi kandungan khutbah agar boleh tersebar kepada semua golongan terutama kaum wanita yang tidak berkesempatan mendengar khutbah jumaat, penulisan khutbah jumaat akan membantu mereka memperolehi maklumat yang sama.

Penulisan Teks Ceramah
Teks ceramah amat penting untuk penceramah dan rujukan khalayak yang hadir. Penulisannya perlu dilakukan berdasarkan bentuknya yang tersendiri bagi menjamin keberkesanannya. Proses penulisan ceramah bermula dengan keinginan dan fokus yang difikirkan oleh penceramah untuk berusaha mencari idea dan maklumat. Oleh itu, fikiran seseorang penceramah perlu bersedia untuk mencari dan mengumpul semua bahan yang berkaitan dengan topik yang ingin dibincangkan dalam ceramahnya.

Penulisan Tips dan Panduan Ibadah
Masjid juga sering dikunjungi sebagai tempat rehat dan ibadat para musafir. Mereka kadang- kala memerlukan panduan dan penjelasan tentang ibadat mereka terutama yang melibatkan kaedah solat Qasar dan Jamak serta syarat-syarat pelaksanaannya.

Tips atau panduan ibadah yang ditulis tidak boleh terlalu panjang. Ia boleh dilakukan dalam bentuk poster atau berbentuk booklet kecil dan mudah dibaca berserta dengan gambar-gambar yang menarik. Poster atau booklet berbentuk nasihat, sifat muslim sejati atau motivasi Islam juga boleh disediakan untuk bahan tatapan pengunjung masjid.
Penulisan Panduan Ibadah
Penulisan Surat dan Pemberitahuan

Penulisan surat rasmi amat penting dikuasai oleh seseorang pegawai masjid. Ini kerana keberkesanan sesuatu komunikasi yang formal antara organisasi dipengaruhi oleh surat yang dikirimkan. Malah Rasulullah S.A.W sendiri menyampaikan dakwahnya menggunakan kaedah surat untuk menyeru agar seseorang raja atau kaisar sesebuah negeri memeluk agama Islam.

Penulisan surat sebagai alat komunikasi bertulis yang ditulis oleh individu, jabatan, badan berkanun, swasta atau individu untuk berhubung secara rasmi atau tidak rasmi di antara satu sama lain. Ia berfungsi sebagai penyampai maklumat secara bertulis, dokumen yang boleh digunakan sebagai rujukan dan bahan bukti di mahkamah dan sebagai wakil duta (sama ada duta individu, jabatan atau Negara).

Surat yang sesuai dijadikan alat komunikasi di masjid boleh berupa surat jemputan mengadiri program, surat menyeru untuk mengimarahkan masjid, surat pesanan dan nasihat kepada ahli kariah dan surat takziah atau tahniah ajk masjid kepada ahli kariah sempena sesuatu kematian atau kejayaan mereka. Hubungan melalui surat ini menjelaskan rasa prihatin dan keintiman yang diwujudkan oleh AJK masjid kepada ahli kariahnya sekaligus mampu menambat hati mereka untuk bersama-sama mengimarahkan masjid atau membantu dalam pembangunan masjid sama ada secara material atau tenaga.
Kesimpulan
Penulisan merupakan alat komunikasi yang penting dalam memastikan pengurusan di masjid dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Keberkesanan komunikasi melalui penulisan yang diaktifkan di sesebuah masjid akan membantu penyebaran maklumat dan pengetahuan tentang Islam dengan lebih baik terutama untuk ahli kariah dan orang yang berkunjung ke masjid tersebut serta menjadikan masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan yang baik dan dipercayai.

No comments:

Post a Comment